BARU KELUAR PENJARA

Sepetang saya‘dimasukkan’ ke Penjara Pokok Sena, Kedah sempena program MDEC eUsahawan #YouCanDuit dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, 1001 kisah celahan lokap besi dapat saya dengar daripada lebih 2500 orang banduan di sana. Siapa sangka, meskipun mereka terasing daripada dunia luar, mereka tidak pernah putus harapan untuk kembali membina hidup yang lebih baik. Sepanjang 5 tahun berkecimpung dalam bidang motivasi dan trainer, pengalaman kali ini adalah sangat luar biasa. Lebih daripada 90% pesalah di sini menanam minat untuk memulakan bisnes apabila dibebaskan kelak. Namun, masalah utama adalah mereka tidak tahu di mana dan bagaimana untuk bermula kerana mereka telah lama hidup disebalik benteng penjara – tidak tahu tentang perkembangan teknologi apatah lagi mengenai media sosial. Mereka tidak tahu betapa powerful nya medium ini sebagai dalam perniagaan online. Jadi, apabila sesi yang melibatkan ‘orang luar’ seperti saya dan Erma Fatima (Mak Cun) dijalankan, mereka sangat teruja. Alhamdulillah, sepanjang 2 jam sesi bersama mereka, tumpuan dan respon yang diberikan dari awal hingga akhir sangat memberangsangkan sehingga ada yang rasa tidak puas. Saya akui, perasaan skeptikal dan tipikal terhadap banduan memang ada pada awalnya, tetapi segala persepsi tersebut ternyata merosot.

HARUS DIBANTU


Usaha murni MDEC eUsahawan #YouCanDuit dengan kerjasama pihak penjara adalah satu perkara yang patut dipuji dalam memastikan pesalah-pesalah di sini tidak rasa dipinggirkan dan mereka perlu tahu bahawa peluang kedua sentiasa ada bagi mereka yang betul-betul ikhlas untuk mengubah hidup mereka. Saya difahamkan, semasa di dalam penjara, banyak kemahiran yang mereka belajar seperi kraftangan, jahitan, pemprosesan produk dan sebagainya. Produk hasil titik peluh mereka juga turut dipasarkan. Dari situ, saya dapat lihat potensi mereka ini sebenarnya besar kerana nilai kemahiran yang mereka ada sememangnya satu faktor utama yang diperlukan untuk memulakan sesebuah perniagaan. Ada juga yang berkongsi idea-idea baru yang terlintas di fikiran mereka semasa saya menjalankan sesi. Ditambah pula dengan usaha daripada MDEC yang telah membuka minda mereka tentang betapa mudahnya menjalankan perniagaan secara online. Saya sangat berbangga apabila dapat mendedahkan mereka bahawa di luar sana masih banyak cara untuk mencari rezeki yang halal dan tidak melanggar undang-undang supaya pisang tidak berbuah dua kali.

SERIBU SATU TAFSIRAN RIAK WAJAH


Sewaktu melangkah masuk ke dalam penjara, saya melalui pelbagai tapisan yang sangat ketat. Handphone dan beg saya ditinggalkan, hanya badan dan pakaian saya sahaja dibenarkan masuk. Sebelum menemui mereka, pelbagai perasaan muncul, takut, berdebar, rasa tidak selamat…semuanya bercampur aduk. Itu persepsi saya pada mulanya tetapi apabila saya sampai, saya terkejut. Mereka menyapa saya dengan senyuman dan ada juga yang memanggil nama saya. Kebetulan ketika itu azan Asar berkumandang, saya solat bersama mereka. Di kiri dan kanan saya, macam-macam warna uniform dapat saya lihat dan pada awalnya, saya tidak tahu bahawa dress codes itu ada maksud tersendiri. Untuk pengetahuan anda, setiap warna menggambarkan seniority dan jenis kesalahan. Sebelum solat, saya sangat terharu apabila melihat raut wajah mereka yang cukup teruja untuk bersalaman dan memeluk saya. Namun begitu, ada juga yang nampak sedih, kesal, gembira kerana menghitung hari untuk dibebaskan dan ada juga yang gelisah menghitung hari ke tali gantung. Ketika doa dibacakan selepas solat, hati saya cukup tersentuh apabila saya dapat rasakan keikhlasan yang sangat luar biasa dizahirkan oleh mereka dalam doa yang dipohon. Mereka cukup rapat dan tawakal dengan Allah SWT dan ini kali pertama saya merasakan satu perasaan yang tidak pernah saya rasa di mana-mana.

MUHASABAH DIRI


Agak kelakar apabila tanggungjawab saya untuk memberi motivasi kepada mereka bertukar sebaliknya. Melihatkan disiplin mereka yang tinggi, saya sebenarnya yang rasa dimotivasikan. Saya difahamkan, minggu pertama mereka di sini, mereka didedahkan dengan pendekatan agama seperti kelas-kelas agama, kelas fardhu ain, tahfiz dan lain-lain. Ada juga dalam kalangan mereka yang mula menghafal ayat-ayat suci al-Quran. Apa yang dapat saya perhatikan, lebih sebahagian daripada mereka mempunyai tanda hitam di dahi mereka. Menurut pegawai di situ, mereka ini tidak pernah meninggalkan solat dan lebih mengagumkan, mereka sentiasa melakukan solat sunat tahujjud dan sebagainya. Saya mula terfikir, sejahat dan sejahil mana mereka sebelum ini, apabila mereka dimasukkan di sini, mereka mula mengenali agama. Berbanding dengan kita di luar, mereka hanya fokus kepada amal ibadat untuk memperbaiki diri. Penjara ini seolah-olah seperti RNR bagi mereka untuk berehat. Jika dilihat dari perspektif berbeza, sesetengah daripada mereka yang tahu bila mereka akan ‘pergi’, sebenarnya sangat beruntung kerana mereka menggunakan ruang dan peluang ini untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jadi, saya mengambil pengalaman ini untuk bermuhasabah diri dan berkongsi artikel ini untuk renungan bersama. Janganlah kita pandang mereka sebagai golongan yang tidak bernasib baik, tetapi pandanglah mereka sebagai golongan yang mempunyai ujian dan jalan yang berbeza. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Perancang.

STIGMA


Saya sempat berkongsi cerita dengan Pengarah Penjara Pokok Sena mengenai stigma masyarakat terhadap pesalah dan banduan secara umumnya. Jangkaan awal saya memang tidak salah di mana apabila mereka dibebaskan, masyarakat masih memandang mereka seolah-olah di dahi mereka tertulis label kesalahan yang pernah dilakukan. Tidak cukup dengan itu, masyarakat setempat mula meminggirkan mereka dan mereka tidak mempunyai sokongan moral untuk dijadikan pegangan. Akibatnya, mereka mengambil jalan mudah dengan mencari kenalan-kenalan lama untuk bergaul. Tekanan emosi yang dilemparkan oleh rakan-rakan yang masih terjebak dengan perkara yang tidak sihat mengakibatkan mereka turut kembali ke laluan yang salah. Saya merayu agar kita yang berada di luar dapat ubah persepsi kita terhadap golongan ini. Mereka amat memerlukan sokongan dari segala bentuk terutamanya mengenai isu kepercayaan. Saya percaya, jika kita bantu mereka sedayanya, mereka pasti akan akan dapat membina hidup yang lebih baik daripada sebelumnya. Ingatlah, tiada manusia yang lari daripada melakukan kesilapan kerana kita bukanlah sempurna seperti yang kita sangkakan.

PENJARA SEPANJANG HAYAT & HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI


Sebelum berbuka puasa, saya sempat meluangkan masa menyelami hati dan perasaan beberapa orang pesalah. Pak Ali (bukan nama sebenar) yang telah dikenakan hukuman penjara seumur hidup, telah berada di sini lebih daripada 17 tahun dan mempunyai 6 orang anak. Kalau diikutkan, Pak Ali memang tidak akan dibebaskan sehingga akhir hayatnya tetapi dia tidak pernah putus berdoa dan memohon untuk dibebaskan oleh pihak berkuasa.
“Insyallah kalau satu hari nanti dengan izin Allah saya dibebaskan, saya akan cari Encik Fizo untuk belajar buat bisnes. Saya nak jadi orang baik-baik, saya nak bantu anak-anak. Tetapi sekiranya hayat saya berakhir di dalam ini, saya minta jasa baik Encik Fizo untuk bimbing anak-anak saya supaya menjadi orang yang berguna dan berjaya. Doakan saya diberi pengampunan dan sekali lagi dapat merasa udara di luar sana.”
Itulah antara kata-kata dan pesanan daripada Pak Ali. Hati saya sangat tersentuh ketika itu memikirkan betapa tawakalnya dia kepada Allah. Dalam pada mendengar luahan perasaan Pak Ali, saya berdoa agar Allah beri saya jalan untuk membantu golongan-golongan yang senasib dengan Pak Ali.
Lain pula kisahnya apabila saya bersembang dengan seorang pesalah yang dikenakan hukuman gantung sampai mati. Perspektif positifnya mengatakan dia bersyukur dengan aturan Allah kerana memilihnya untuk menerima hukuman dunia ini. Katanya, “Sekiranya saya masih berada di luar, mungkin saya akan terus sesat dan entah apa juga dosa yang saya akan lakukan. Inilah hikmah yang paling besar kerana saya dapat mendekatkan diri dengan Allah dan insyallah, saya akan dapat pergi dalam keadaan bersih dan suci.”
Sama ada dosa mereka diampunkan ataupun tidak semasa mereka pergi nanti, itu adalah urusan Allah. Sekurang-kurangnya, mereka sudah bersedia untuk menghadap Pencipta.

RASA SYUKUR


Semasa berbuka, saya dapat lihat betapa gembiranya mereka apabila dapat berbuka dengan juadah yang berbeza dan cukup istimewa (Nasi briyani dan ayam masak merah) jika ingin dibandingkan dengan makanan mereka pada hari-hari lain. Terlintas di minda saya memikirkan betapa banyak makanan dibazirkan oleh kita pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Harapan saya, dalam pada kita bebas melakukan apa sahaja di luar, kita perlu berfikir sejenak mengenang nasib mereka ini agar timbul sekelumit rasa syukur dan ingat akan Allah yang melimpahkan segala nikmat dan rahmat.

Selaku duta MDEC eUsahawan #YouCanDuit, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MDEC dan Jabatan Penjara Malaysia atas peluang dan pengalaman yang tiada tolok bandingnya. Semoga perkongsian saya akan dapat membantu mereka untuk membina kehidupan yang lebih baik. Diharapkan artikel ini dapat mengubah persepsi anda dan saya sendiri terhadap mereka ini kerana kita perlu ingat, semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Semoga Allah mengangkat darjat mereka ini dari segi duniawi dan ukhrawi. Insyallah, usaha ini tidak akan terhenti di Pokok Sena tetapi siri jelajah ke seluruh penjara di Malaysia akan dijalankan kelak agar lebih banyak ilmu akan dapat disampaikan. Tahniah saya ucapkan kepada MDEC, kerajaan Malaysia dan pihak penjara atas usaha murni ini.

Komen Anda?

Close
Top