BUKAN MUDAH BERADA DI ATAS PENTAS

Sebagai speaker, aku belajar menempuhi cabaran satu persatu untuk memperbaiki diri untuk menguasai pentas setiap kali dijemput. Pada mulanya, aku percaya seperti kebanyakan speaker lain di dunia, banyak kelemahan yang dikesani tetapi aku bukan jenis yang berputus asa sebaliknya akan buat sampai dapat.

Kita manusia yang tidak sempurna tetapi jangan jadikan kekurangan itu suatu kelemahan untuk kita mempertingkatkan kualiti kehidupan. Aku sendiri akui pada pentas pertama – kekok, canggung, malu dan segalanya yang membuatkan aku terfikir ‘bodohnya aku’ ketika itu, akhirnya dapat diatasi. Kesilapan pertama jangan diulangi di pentas kedua dan begitu seterusnya.

Kita makhluk yang lemah dan aku sendiri tiada keyakinan untuk berdiri di atas pentas berdepan ribuan manusia lain. Namun kelemahan itu akan bertukar menjadi kelebihan selepas kita biasakan dan daripada kelebihan akan menjadi kepakaran. Dengan kepakaran yang ada akan menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Biasanya orang akan bayar lebih kepada pakar, betul kan? Mana mahal bayaran untuk doktor pakar berbanding doktor biasa? Aku sendiri ingin menjadi lebih pakar dalam dunia yang aku ceburi sekarang kerana ilmu dan belajar tidak pernah berkurang di dunia ini. Cari ilmu sebanyak mungkin dan kongsikan dengan orang ramai agar sama-sama dapat manfaatnya. Aku sendiri harus memperbaiki diri dari semasa ke semasa dengan ilmu-ilmu yang berguna. Dan sehingga sekarang aku masih menagih ilmu daripada manusia sekeliling.

Jangan berhenti mencari ilmu dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Ilmu agama misalnya, harus kita dalami kerana itu yang akan membawa kita ke akhirat. Belajar, belajar dan belajar. Misalnya aku lemah di dalam bidang permotoran yang aku sendiri minat, aku akan cari jalan untuk mengatasi kelemahan itu dengan belajar daripada mereka yang pakar sehingga aku boleh menguasai pengetahuan tentangnya.

Begitu juga ketika aku takut untuk menaiki pentas pertama sebagai speaker, ada banyak yang tidak kena pada diri aku. Selepas itu aku mencari ‘tok guru- tok guru’ untuk memantapkan lagi siapa Fizo Omar di atas pentas. Proses belajar ini bagaimanapun bukan boleh dibuat dalam tempoh sehari dua malam, sebaliknya ia memakan masa secara berperingkat. Peringkat-peringkat inilah yang aku belajar sedikit demi sedikit.

Kejayaan Hot Burger dulu misalnya menjadi titik tolak awal perkongsian ilmu keusahawanan dengan orang ramai. Aku mula diajak ke pentas-pentas perkongsian yang aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu bercakap dan memberitahu audien tentang apa yang aku lakukan. Aku sekadar penjual burger jalanan, bukannya tokoh Tan Sri Tony Fernandes atau korporat ternama yang mempunyai bisnes jutaan atau bilion ringgit.

Apa yang harus aku kongsi atau ceritakan kepada mereka? Berpeluh juga aku ketika itu walaupun bercakap di dalam dewan yang sejuk dek pendingin hawa. Aku memang takut kerana cara bercakap sebagai pengacara dan speaker sangat berbeza. Ada ketikanya aku ‘menipu’ beberapa penganjur daripada bercakap di atas pentas keusahawanan atas alasan sibuk shooting walaupun yang sebenarnya aku tidak berani.

Namun berapa lama aku boleh bertahan ‘menipu’ mereka sedangkan tawaran semakin banyak mendatang, lebih banyak daripada tawaran berlakon. Akhirnya aku memandang peluang ini sebagai serius dan akan menjadikannya karier suatu hari nanti.

Oleh kerana ‘kecut’ berdepan dengan usahawan dan bakal usahawan, aku mendapat idea untuk memulakan dunia speaker ini dengan bercakap di depan pelajar sekolah. Ini jalan terbaik fikir aku kerana secara psikologinya aku yang kononnya dewasa ini mampu mengawal ‘budak-budak sekolah’.

Memang menjadi tetapi bukan mereka yang menjemput aku untuk bercakap tetapi aku dan pasukan aku sendiri yang memulakan langkah mendekati pihak sekolah dengan memberi sumbangan. Aku belajar ‘memberi’. Bercakap di depan pelajar ini adalah cara terbaik untuk aku berlatih sebelum berdepan dengan mereka yang lebih dewasa. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya aku telah berjaya ‘mendidik’ pelajar-pelajar sekolah dengan sedikit ilmu yang aku ada.

Inilah yang aku maksudkan tadi, daripada kelemahan, lama-lama ia akan menjadi kelebihan. Daripada lemah bercakap, lama kelamaan menjadi kelebihan aku untuk bercakap di depan ribuan manusia lain. Apabila itu suatu kelebihan dan diulang-ulang, maka seseorang itu akan menjadi pakar dalam bidangnya, seperti aku yang pakar dalam bercakap selepas semakin ramai penganjur nampak aku sebagai seorang speaker muda.

Cerita panjangnya di dalam buku BANGKIT BILA BANKRAP.

 

Komen Anda?

Close
Top