HAK YANG MASIH RAMAI KURANG AMBIL PEDULI

HUJUNG TAHUN. Satu musim yang dinantikan untuk percutian bagi si kaki jalan. Juga waktu kegemaran ramai antara kita untuk membeli-belah sebab selalunya di waktu beginilah banyak diadakan jualan murah besar-besaran dan adakalanya seakan tak masuk akal.

Hujung minggu yang baru berlalu ni saya berkesempatan ke Ipoh, Perak untuk Karnival Jualan Mega 2017 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Memang hebat acara yang mengambil tempat di Bulatan Amanjaya, Meru ni. Sambil berjalan-jalan menjenguk pelbagai booth yang ada serta melihat gelagat lautan pengunjung  yang hadir, saya terfikir ada perlunya untuk saya kongsikan tentang satu perkara ni bersama anda semua.

Perkara mengenai ‘hak’ yang kadang-kadang sering dipandang enteng oleh kita semua. ‘Hak’ yang sudah kerap diwar-warkan tetapi selalu juga ada antara kita yang masih kurang arif. Bila dah terkena pada batang hidung sendiri baru kita nak terngadah dan nak ambil tahu tentang ‘hak’ yang penting tu. HAK SEBAGAI PENGGUNA.

Setiap barangan yang dibeli pastinya perlu mengikut harga yang dipamerkan. Begitu juga apabila anda membeli perkhidmatan yang ditawarkan , penjual tidak boleh menukar sesuka hati mereka. Jika ini berlaku bagaimana? Siapakah yang dapat membantu anda ? Kalau ingin membuat aduan bagaimanakah caranya? Tak perlu saya cerita panjang berjela jika anda semua tahu apa itu KPDNKK dan fungsinya untuk kita semua.

Daripada isu peniaga tidak mempamerkan harga barangan yang dijual atau harga yang dicaj tidak sama dengan harga yang dipamer hinggalah ke isu harga barangan dinaikkan sesuka hati oleh peniaga, semuanya terkandung dalam hak kita sebagai pengguna dan kita boleh bergantung harap kepada KPDNKK untuk penyelesaian setiap permasalahan terbabit.

Saya bukanlah pakar untuk nasihatkan anda semua tentang hak-hak kepenggunaan ni. Untuk lebih pasti ada baiknya kita merujuk terus kepada KPDNKK. Tak kiralah melalui laman sesawang mereka atau berkunjung terus ke pejabat KPDNKK yang berhampiran, yang penting kita semua tahu tentang hak kita sebagai pengguna. Tak adalah kelak kita menjadi antara mereka yang teraniaya oleh peniaga dan tertipu ketika berbelanja.

Saya tinggalkan anda dengan info senarai lapan hak kita semua sebagai pengguna.

HAK-HAK PENGGUNA

  • Hak untuk mendapatkan keperluan asas
  • Hak untuk mendapatkan keselamatan
  • Hak untuk mendapatkan maklumat
  • Hak untuk membuat pilihan
  • Hak untuk mendapatkan ganti rugi
  • Hak untuk menyuarakan pendapat
  • Hak untuk mendapat pendidikan pengguna
  • Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

#hakpengguna

#penggunabijak

#mykpdnkk

#caringministry

Komen Anda?

Close
Top