NAFAS BARU DI LANGKAWI

“Ramai yang dahaga di dalam tasik, itu yang membuatkan saya pelik dengan orang-orang kita.”

Bunyinya mungkin juga pelik kepada yang mendengar tetapi kata-kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (Adun) bahagian Kuah, Yang Berhormat Nor Saidi Nanyan itu tepat merujuk kepada sebahagian besar penduduk Langkawi yang diperhatikannya tidak mengambil peluang rezeki di depan mata.

Sepanjang lebih satu jam berbual dengan anak jati Pulau Mahsuri itu, ternyata timbul suatu kebimbangan padanya andai warga Langkawi masih melepaskan peluang yang terbuka luas. Kata beliau, tidak ramai yang bertindak walaupun sudah nampak di depan mata.

“Kita bangunkan Langkawi sebagai pusat percutian golongan pertengahan dan atasan tetapi tidak melupakan pelancong domestik yang turut membantu menyumbangkan kepada ekonomi rakyat pulau ini. Ekonomi rakyat perlu diutamakan dan penduduk Langkawi yang lebih 150,000 orang itu harus mendapat faedah daripada kehadiran 3.8 juta pelancong setiap tahun.

“Bagaimanapun segelintir daripadanya tidak mengambil peluang yang jelas tersedia di depan mata mereka dan mereka hanya menanti benda yang tidak pasti. Itu yang membuatkan saya hairan kerana masih banyak berkaitan pelancongan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat selain menawarkan pengangkutan dan penyediaan makanan kepada pelancong.

“Sebagai wakil rakyat, menjadi tugas saya untuk membantu mereka menambahkan ekonomi berdasarkan lapangan pelancongan. Pulau Tuba misalnya, sebelum ini tiada tarikan untuk pelancong ke sana sedangkan pantainya tidak kurang cantiknya tetapi saya bangunkan tujuh gerai tradisional untuk 14 peniaga pulau itu menambahkan pendapatan mereka selain menarik lebih ramai orang luar ke sana,” kata Nor Saidi.

Baru-baru ini, Nor Saidi sempat membawa lima wakil daripada Fizo Omar Channel (FOC) meninjau pulau yang didiami kira-kira 5,000 penduduk termasuk ke gerai makanan yang dimaksudkan. Beliau yakin industri makanan yang rapat dengan industri pelancongan mampu menghidupkan kembali Pulau Tuba.
Selain ke Pulau Tuba, rombongan FOC yang diketuai oleh pengasasnya, Fizo Omar yang berada di pulau legenda selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Februari lalu itu turut berpeluang meninjau sebahagian Langkawi dari udara dengan menaiki helikopter milik HeliOutPost serta beberapa tempat tarikan pelancongan lain termasuk Tasik Dayang Bunting, Gunung Mat Chincang dan Ayer Hangat Village.

“Namun kehadiran Fizo ke Langkawi kali ini lebih bermakna selepas dilantik sebagai ikon usahawan muda dalam program Rakan Strategik LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi) untuk berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada bakal usahawan muda. Saya mahu anak-anak muda Langkawi bangkit memperbaiki ekonomi masing-masing kerana mereka juga sebahagian daripada pembangunan ekonomi rakyat.

“Ini antara usaha-usaha menjaga kebajikan rakyat dengan mengisi perut mereka. Kalau mereka susah, bagaimana mereka mahu belajar dan bekerja untuk menyara keluarga? Mereka menjadi hambatan-hambatan kepada kelestarian pembangunan pulau ini tetapi menjadi tugas kami untuk mengimbangi jurang ekonomi mereka biar seiring dengan perkembangan semasa,” kata Nor Saidi yang tidak mahu Langkawi menjadi Phuket atau Bali yang popular di mata dunia sedangkan aset-aset utama bukan milik pribumi.

Sementara itu, Fizo berbangga dengan kesungguhan Nor Saidi dalam usaha menaiktaraf ekonomi penduduk Langkawi menerusi pelbagai aktiviti termasuk membangunkan dalaman anak-anak muda yang berminat di dalam perniagaan.

“Saya melihat mereka begitu berpotensi untuk dijadikan usahawan berkaitan industri pelancongan yang masih banyak belum diterokai. Malah usahawan-usahawan di Langkawi yang sedia ada tidak cukup tangan untuk menanganinya. Selama tiga hari di sana, saya melihat terlalu banyak potensi untuk Langkawi mengukuhkan industri pelancongannya.

“Saya berbesar hati dengan jemputan Yang Berhormat Nor Saidi dan insyaAllah FOC sedia membantu semampu kami untuk memberi tunjuk ajar kepada orang Langkawi yang berminat atau ingin tahu tentang perniagaan. Dalam perkongsian singkat bersama kira-kira 200 usahawan dan bakal usahawan Langkawi baru-baru ini membuka mata saya terhadap potensi tersebut,” kata Fizo.

 

DAHAGA DI DALAM TASIK

Undangan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melawat pulau legenda itu harus disegerakan. Kebetulan Mac dan April 2018, aktiviti FOC penuh dengan jadual seminar. Selepas berbincang, kami di FOC berlima terbang ke Langkawi pada 6 Februari lalu dan berada di sana sehingga malam 8 Februari sebelum kembali ke Bangi, Selangor.

Tiga hari yang padat dengan aturcara susunan pihak LADA yang diketuai Pengerusinya, Yang Berhormat Nor Saidi Nanyan sangat bermakna untuk kami melihat Langkawi dari perspektif yang jauh berbeza. Kami dibawa ke lokasi-lokasi pelancongan utama tetapi kali ini bukan sekadar pelancong, sebaliknya Nor Saidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (Adun) bahagian Kuah itu membuka mata kami tentang ‘dahaga di dalam tasik’.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira-kira jam 8 pagi dan terus dibawa ke Muzium Laman Padi, bukan sahaja untuk bersarapan tetapi ada acara sedang menanti. Tidak sampai 15 minit perjalanan berkereta untuk ke muzium yang terletak berhampiran pintu masuk Pantai Chenang itu. Rasa mengantuk kami (bersedia sejak jam 4 pagi untuk ke KLIA) hilang sebaik tiba ke Laman Padi. Tidak hanya indah bangunan yang dibina, mata saya terpegun melihat petak-petak sawah yang ditumbuhi padi menghijau mengelilingi kawasan itu. Selain bendang padi, kompleks ini dilengkapi sebuah galeri yang menempatkan muzium padi dan beras, restoran, spa dan sebagainya di bawah satu bumbung. Yang penting, suasana kampung Melayu Kedah dikekalkan.

Ketibaan kami disambut oleh pihak pengurusan LADA yang kebetulan sedang bersarapan makanan tradisi dengan para pemain industri pelancongan termasuk ejen-ejen, wakil media, pemilik restoran, spa dan hotel. Langkah kanan, lempeng popular orang Kedah yang dipanggil Pek Nga turut disediakan panas-panas bersama kopi kampung. Pulut putih pula disandingkan dengan parutan kelapa serta ikan masin melengkapkan pagi itu yang dihadiri hampir 100 tetamu.

Saya turut teruja merasakan Nasi Dagang pantai timur di Laman Padi yang disediakan oleh pemilik restoran Dagang Pak Malau yang dikenali sebagai Pak Malau. Rasanya tidak lari sedikit pun daripada keaslian masakan tradisional yang terkenal di Kelantan dan Terengganu itu, apatah lagi ikan tongkol pilihan Pak Malau amat tepat untuk dihidangkan.

Pak Malau bukan orang Langkawi dan berkahwin dengan orang Kelantan, lalu merantau membina legasinya di Pulau Mahsuri itu. Difahamkan Nasi Dagang Pak Malau ini sangat terkenal dan kisahnya pernah dirakam untuk siaran TV tempatan dan antarabangsa.

Kami tidak boleh terlalu lama di Laman Padi kerana Yang Berhormat sedang menanti kami di Kedawang. Kami menaiki van yang dipandu cekap oleh Abang Ali (kakitangan LADA) dan 10 minit kemudian, kami tiba di HeliOutPost yang disambut oleh Yang Berhormat serta Ketua Pegawai Eksekutif HeliOutPost, Faiz Sazali. Faiz masih mudah, berusia sekitar 20-an dan seorang usahawan yang berjaya. Menurut Faiz, tidak hanya di Langkawi, HeliOutPost turut beroperasi di lima tempat termasuk Kuala Lumpur dengan keseluruhan helikopter berjumlah 11 buah.

Biarpun sasarannya untuk golongan berada terutama pelancong dari Timur Tengah, namun kata Faiz, pelancong domestik juga mampu untuk melihat Langkawi dari ruang udara.Tengah hari itu kami berlima bersama pihak LADA dan Faiz meninjau Pulau Tasik Dayang Bunting, Pantai Chenang serta beberapa kawasan lagi dengan menaiki helikopter selama 20 minit. Pengalaman ini sukar untuk saya jelaskan tetapi yang nyata, ia sangat bermakna untuk saya di FOC melihat apa yang cuba Yang Berhormat ingin tunjukkan Langkawi sebenar kepada kami.

Langkawi panas ketika itu dan menurut Pak Ali, sudah seminggu hujan tidak turun. Bagaimanapun bukan halangan untuk kami meneruskan perjalanan ke Ayer Hangat Village yang terletak kira-kira 14 kilometer ke utara pekan Kuah. Di sini terletaknya Telaga Air Hangat (hot springs) yang mempunyai kadar kemasinan semulajadi. Biasanya telaga air panas berasaskan air segar dan tawar tetapi tidak di kompleks ini. Air hangat masin ini sangat unik kerana hanya terdapat tiga lokasi di dunia. Langkawi sangat bertuah!

Kompleks Ayer Hangat Village dibina cantik mengikut senibina bercirikan kampung Melayu, lengkap dengan spa, jakuzi, gazebo, jambatan menghadap pemandangan padang yang dihuni kerbau serta beberapa jenis burung. Selain menikmati keindahan itu, tidak lengkap kalau kami tidak merendam kaki ke dalam air hangat masin yang dipercayai mampu menyembuh penyakit kulit. Menurut kakitangan di situ, lumut-lumut yang terapung di dalam kolam air panas itu juga baik untuk kulit kita.

Makan tengah hari kami dilewatkan hingga jam 3 petang. Tidak terasa lapar kerana teruja dengan Langkawi yang ‘baru kami lihat’. Namun terasa lapar tiba-tiba apabila Yang Berhormat bercerita tentang gerai makan tersohor di kalangan orang kenamaan pulau itu. Gerai Mak Ngah Gulai Panas hanya warung biasa terletak di tepi jalan di Kampung Kisap tetapi penuh dengan pelanggan. Lagipun saya percaya citarasa anak tekak Yang Berhormat apabila bercakap tentang makanan. Beliau sendiri lebih berbangga membawa pelawat ke warung tepi jalan yang menyediakan makanan sedap berbanding hotel lima bintang.
Istimewanya gerai Mak Ngah adalah pilihan ikan-ikan dan hidupan laut yang dihidangkan di atas meja. Cerita Yang Berhormat, hanya ikan yang dipancing sahaja menjadi pilihan Mak Ngah buat pelanggannya. Mak Ngah atau nama sebenarnya Fatimah Bakar, 62 hanya menyediakan hidangan berdasarkan permintaan.

 

Petang itu diet kami ke laut. Ikan tenggiri goreng ditabur bawang putih dan gulai ikan gerot jadi pilihan. Kacang botol, pucuk gajus, pucuk putat dan timun dijadikan ulaman bersama sambal belacan. Sedap? Tak payah untuk saya ceritakan kalau sudah bertambah nasi.

 

Kenyang hingga terbayang-bayang keenakan tenggiri dan gerot, dibawa ke Gunung Machincang menaiki kereta kabel yang terletak di kompleks Oriental Village, Teluk Burau. Oleh kerana angin agak tidak membenarkan kami melayari kereta kabel, kami ke Interactive 3D Art Museum yang terletak di dalam kawasan itu. Terpukau dengan lukisan menghiasi dinding, lantai dan siling bangunan. Lebih terpegun apabila melihat hasilnya apabila kita beraksi di depan telefon pintar masing-masing.
Selesai muzium 3D, angin kembali reda untuk kami menaiki kereta kabel hingga ke stesen tertinggi. Bagaikan tidak lengkap kalau tidak melihat Langkawi pada ketinggian 708 meter dari aras laut dan tidak rugi untuk sesiapa pun menaiki gondola sejauh 2.2 kilometer itu. Hampir 2 jam kami meluangkan masa bersama Yang Berhormat yang banyak bercerita tentang peluang-peluang di Langkawi menerusi gaya bahasanya yang tinggi dan mendalam.

 

‘Dahaga di dalam tasik’ sangat mendalam. Malah frasa ini turut diulang di dalam ucapannya di dalam program Rakan Strategik LADA keesokan malamnya. Frasa itu mentafsirkan peluang rezeki yang begitu luas tetapi masih ramai yang tidak merebutnya. Yang Berhormat hanya merujuk kepada warga Langkawi yang menjadi destinasi pelancongan antarabangsa, sekali gus menyediakan banyak peluang untuk meraih kehidupan yang lebih baik. Namun katanya, ramai yang tidak endahkan peluang itu dan menanti benda lain yang belum pasti.

 

Banyak yang Yang Berhormat kongsikan, baik secara peribadi mahupun dirakam videografer FOC akan dijadikan iktibar buat kami. Hari itu memang padat dan memenatkan namun sangat berharga untuk dinilai dengan wang ringgit. Hari itu kami tamatkan dengan makan malam di Farm Fish, sekali lagi dengan makanan laut segar bersama kangkung goreng telur masin.

 

Hari yang panjang disudahi di dalam kenyamanan bilik Hotel Adya (ceritanya di dalam artikel lain).

HARI KE-2

Sebelum ke jeti, kami singgah di Dataran Lang, meninjau beberapa lokasi termasuk sekitar Restoran 1Malaysia. Cantik untuk diterokai. Cuma seketika di situ kerana Yang Berhormat serta wakil LADA sedang menunggu di jeti sambil bersarapan roti canai dan nasi lemak terkenal di situ. Hari kedua, kami akan ke beberapa pulau sebelum menamatnya di Pulau Tuba yang bersebelahan dengan pulau utama Langkawi.

Kami menaiki bot laju memecah ombak kecil yang cuba melambung kami. Hanya 15 minit, kami tiba di Tasik Dayang Bunting yang masih tidak kurang pengunjungnya walaupun bukan hari minggu atau cuti umum. Rata-rata kita diceritakan dengan kebaikan air tasik itu yang kononnya mampu menyuburkan mereka yang ingin mengandung dan pelbagai cerita lagi termasuk mitos-mitos Langkawi.

Bagaimanapun saya tertarik dengan cerita saintifik tasik legenda ini. Menurut pegawai yang bertugas, tasik seluas kira-kira sebesar kompleks Sukan Bukit Jalil ini sangat unik kerana airnya tawar tetapi lebih menarik kerana kadar alkalinnya 12PH berbanding air tawar biasa 3PH hingga 4PH. Terfikir apakah kebaikan air tasik ini boleh dikomersilkan?
Kemudian perjalanan kami diteruskan ke beberapa buah pulau tetapi tidak singgah kecuali di Pulau Tuba yang mempunyai populasi kira-kira 5,000 orang. Ada aktiviti yang pihak Yang Berhormat sediakan di sini. Dari jeti perkampungan nelayan pulau itu, kami menaiki ATV untuk meronda kampung. Kami dibawa ke pusat kraftangan Pulau Tuba yang memfokuskan kepada anyaman mengkuang dan batik lukis. Anyaman halus membentuk tikar, beg dan hiasan dinding amat berpotensi untuk dikomersilkan.

Perjalanan kami di pulau itu diteruskan ke Tanjung Pandan yang mengadap Pulau Langkawi. Pantai yang tidak selebar Chenang namun cukup menenangkan jiwa sambil dihembus angin laut. Tarikan Tanjung Pandan kini bertambah dengan pembinaan gerai-gerai makanan tradisional atas inisiatif Yang Berhormat. Sebanyak 7 gerai dibina untuk memberi peluang kepada 14 penduduk Pulau Tuba mencari pendapatan lebih. Kami sempat merasa mi udang, pisang goreng madu, laksa RM2 serta air kelapa yang berlatarkan laut membiru dan langit cerah. Di mana lagi mahu dicari momen-momen begini kalau tidak di Pulau Tuba?

 

Kami kembali ke Hotel Adya lebih awal dari semalam kerana malam nanti acara Rakan Strategik LADA akan menanti. Program yang juga diilhamkan Yang Berhormat itu sangat bermanfaat buat warga Langkawi yang berminat di dalam bidang keusahawanan. Konsep mentor-mentee amat sesuai kerana mereka yang baru berjinak di dalam bisnes mampu mempelajari pengalaman daripada mereka yang telah berjaya.

Saya diberi peluang bercakap kira-kira satu jam tentang bisnes dan pengalaman saya membangunkan FOC, bagaimana jatuh bangun saya sebagai seorang berstatuskan bankrap mampu bangkit untuk membina empayar dalam masa kurang dari tiga tahun yang kini bernilai jutaan ringgit. Semoga perkongsian saya pada malam itu mampu menjentik naluri warga Langkawi yang hadir untuk melangkah setapak lagi memajukan diri dan keluarga. InsyaAllah.

HARI KE-3

Pagi itu saya dan FOC ke salah sebuah pejabat LADA, bertukar pandangan sambil belajar daripada pihak pengurusan LADA yang telah lama berpengalaman. Saya tidak akan bercerita tentang intipati perbincangan kami namun apa yang boleh saya katakan, sesuatu yang menarik telah FOC kutip selama tiga hari di Langkawi dan insyaAllah kami akan datang lagi dengan misi yang lebih besar.

Petang kami ke Padang Matsirat untuk terbang kembali ke Kuala Lumpur bersama impian dan kenangan di Pulau Mahsuri. Kata-kata Yang Berhormat tentang ‘dahaga di dalam tasik’ ketika berada di Tasik Dayang Bunting itu akan menjadi azimat untuk FOC meluaskan empayarnya. Terimakasih LADA dan Langkawi.

Komen Anda?

Close
Top