SEBAB MENGAPA ANDA PERLU JADI USAHAWAN

Tidak semua orang ingin memulakan perniagaan. Mungkin kerana tiada  minat untuk menjadi usahawan. Sememangnya tiada salah di situ. Terpulanglah pada diri masing-masing kerana mungkin kita lebih selesa bekerja makan gaji. Rezeki pastinya ada di mana-mana saja. Tapi bagi sesiapa yang ingin menjadi usahawan pastinya mereka mahukan 5 sebab ini, antara sebabnya adalah :

#1 – Ingin Menjadi Bos Sendiri

Mungkin kita kurang berminat menerima arahan daripada pihak lain atau merasakan, kita boleh memberi arahan dengan lebih baik, maka, memulakan perniagaan sendiri membolehkan peluang untuk menjadi bos atau ketua kepada diri sendiri. Anda yang menetapkan peraturan dan anda juga boleh melanggarnya. Siapa yang hendak menegur anda dalam perniagaan sendiri oleh kerana andalah ketuanya.

Anda juga tidak memerlukan kebenaran sesiapa untuk melakukan sesuatu dalam perniagaan anda. Oleh kerana jalan perniagaan anda, anda sendiri tentukan. Namun menjadi ketua sendiri bukanlah perkara yang mudah oleh kerana kini tanggungjawab jatuh 100 peratus ke atas diri sendiri. Sama ada berjaya atau gagal, ditentukan oleh kecekapan diri kita sebagai seorang ketua. Sekiranya gagal, maka 100 peratus adalah salah sendiri dan bukan lagi orang lain.

#2 – Lakukan Apa Yang Anda Minat

Antara pesanan awal khususnya untuk mereka yang baru ingin memulakan perniagaan adalah melakukan sesuatu mengikut minat sendiri. Melakukan sesuatu yang mengikut minat pastinya lebih menyeronokkan berbanding dengan melakukan sesuatu kerana terpaksa. Apabila karier tumbuh berdasarkan minat, setiap hari menjadi hari yang sentiasa ditunggu-tunggu dan anda tidak kenal penat untuk berusaha.

Melakukan sesuatu yang kita minat adalah langkah pertama, tetapi jangan lupa pula dengan permintaan pasaran. Melakukan sesuatu yang kita minat saja dan mengabaikan pasaran dan permintaan tidak ubah seperti syok sendiri. Tiada permintaan, maka tiada pembeli. Bila tiada pembeli, perniagaan yang dijalankan terpaksa digulung tikar pula.

#3 – Membuka Peluang Pekerjaan

Memulakan perniagaan bukan saja membantu diri kita, tetapi juga menolong orang lain dengan cara mewujudkan peluang pekerjaan. Oleh kerana anda adalah pemilik perniagaan, anda juga boleh memilih siapa pekerja anda. Anda sendiri dapat membina pasukan sendiri dalam menjayakan perniagaan tersebut. Di sini, kecekapan komunikasi dan mengendalikan pasukan adalah amat penting.

Bak kata pepatah Inggeris, ‘No man is an island’ yang bermaksud, kejayaan tidak dicapai seorang diri, tetapi atas bantuan orang lain juga. Peluang pekerjaan yang diwujudkan perlu dapat membantu usahawan mencapai matlamat perniagaannya. Perkara ini tidak akan tercapai sekiranya kemahiran komunikasi dan pengendalian pekerja anda lemah.

#4- Tetapkan Jadual Sendiri

Bila mempunyai perniagaan sendiri, kita boleh memilih jadual yang lebih fleksibel. Kini ramai yang memilih memulakan perniagaan melalui Internet. Dengan menggunakan Internet sebagai platform perniagaan, pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh usahawan, termasuk waktu bekerja yang lebih fleksibel.

Oleh kerana perniagaan Internet tidak memerlukan kedai fizikal, maka, usahawan tidak perlu menunggu atau berada di kedainya sambil menjalankan perniagaan. Namun ini tidak bererti kurangnya tumpuan masa pada perniagaan. Pengurusan masa memainkan peranan yang amat penting supaya usaha dan kerja yang dilakukan pada perniagaan memberi produktiviti yang optimum.

#5 – Meningkatkan Ekonomi Diri & Keluarga

Tentunya tujuan utama dalam memulakan perniagaan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Apabila ianya dilakukan dengan baik, perniagaan dapat memberi pulangan yang lumayan. Dikatakan 9 daripada 10 punca rezeki datangnya daripada perniagaan. Jika dilakukan dengan betul, berilmu, strategi dan teknik yang berkesan, pulangan perniagaan boleh memberi pulangan berganda.

Perlu diingat juga dan menjadi pengajaran kepada semua, untuk berjaya dalam perniagaan memerlukan usaha dan dedikasi yang tinggi. Tiada ruang untuk menjadi cepat kaya dalam perniagaan, tetapi usaha yang konsisten akan memberi pulangan yang berganda. Tidak semua perniagaan berjaya. Malah lebih banyak kisah kegagalan perniagaan sering kita dengar berbanding kisah kejayaan.

Natijahnya, pastinya ada pelbagai kebaikan memulakan perniagaan dan menjadi usahawan. Tetapi, dalam kebaikan, juga terdapat beraneka cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani
dengan bijak.

Ambil langkah demi langkah dalam memupuk minat. Dalami ilmu perniagaan dulu sebelum memulakan perniagaan. Kuatkan juga semangat dan motivasi oleh kerana dunia perniagaan tidaklah semudah yang kita sangka terutamanya bagi mereka yang baru sahaja hendak bermula.

 

Komen Anda?

Close
Top